100 PELAJAR IPT MENYEMARAKKAN SEMANGAT KEMERDEKAAN DENGAN MENJALANKAN AKTIVITI KESUKARELAWANAN DI TIGA DAERAH DI SABAH
100 orang pemimpin sukarelawan siswa dari pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh Malaysia merangkumi Universiti Awam, Universiti Swasta, Politeknik, Kolej Komuniti dan IPG sedang mengikuti Misi Sukarelawan Siswa YSS ke Sabah anjuran Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Kementerian Pengajian Tinggi.
Majlis Flag-Off misi sukarelawan siswa yang diadakan pada 30 Ogos 2022 di Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah disempurnakan oleh Profesor Dr. Rasid Mail, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Universiti Malaysia Sabah, dan turut dihadiri oleh Encik Azrul Bin Ibrahim, Pengarah Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), Jabatan Ketua Menteri Sabah dan Puan Sherene Azura Azli, Ahli Lembaga Pemegang Amanah/Lembaga Pengarah YSS.
Misi sukarelawan siswa ini telah bermula pada 28 Ogos 2022 dan akan berakhir pada 14 September 2022. Para sukarelawan siswa akan mengadakan aktiviti kesukarelawanan di enam (6) lokasi di tiga (3) daerah merangkumi daerah Kudat, Tuaran dan Beluran, Sabah. Mereka akan tinggal bersama dengan penduduk tempatan selama dua minggu untuk menyelami konsep “immersion; eat, live and breathe with the community” yang diterapkan dalam setiap misi YSS.
Pelaksanaan misi ini berteraskan enam teras YSS merangkumi pemerkasaan komuniti, penambahbaikan pendidikan & pembangunan kapasiti, ketahanan terhadap impak perubahan iklim & kelestarian alam sekitar, kesihatan, transformasi digital dan mobilisasi impak sosial. Enam teras tersebut adalah selari dengan matlamat YSS dalam mendukung pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke arah mencapai Agenda 2030.
Sempena sambutan Bulan Kemerdekaan ke-65 serta Hari Malaysia ke-59, para sukarelawan akan menjalankan aktiviti bersama komuniti setempat untuk menyemarakkan semangat kesukarelawanan serta semangat cintakan negara seiring dengan tema tahun ini “Keluarga Malaysia, Teguh Bersama”. Aktiviti seperti ini juga akan meningkatkan jati diri dalam kalangan mahasiswa yang bakal menjadi pemimpin untuk terus menyumbang kepada masyarakat dan Negara.