300 PELAJAR CALON SPM SMK BADIN DAPAT MANFAAT BENGKEL SKOR A SPM & NDP YSS
Seramai 300 pelajar calon SPM dari SMK Badin menerima manfaat daripada pelaksanaan Bengkel Skor A SPM dan Program Pemupukan & Pembangunan Pelajar Kohort 2 yang diadakan di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah pada 3 hingga 4 November 2022.
Bengkel ini memfokuskan lima matapelajaran teras merangkumi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah dan Sains termasuk Pendidikan Islam sebagai platform motivasi dan persediaan awal pelajar Tingkatan 5 mengharungi SPM yang akan datang.
Peserta bengkel juga merupakan pelajar yang mendapat manfaat daripada kelas tuisyen percuma di bawah Projek Tuition Mission YSS Percuma Golongan B40 di Sabah anjuran Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera yang telah bermula pada bulan Ogos 2022 hingga Januari 2023.
Inisiatif ini juga telah disambut baik oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran sebagai sebahagian usaha dalam membantu lebih daripada 300 pelajar yang bakal menduduki SPM pada tahun ini. Jumlah pelajar SPM dari SMK Badin antara yang terbesar dan perlu diberi perhatian untuk memastikan pelajar bersedia dan lulus dengan cemerlang dalam SPM akan datang.