Misi Sukarelawan Siswa Green Summer Volunteer Campaign (GSVC) ke Vietnam 2024
Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) telah menghantar seramai 47 orang sukarelawan siswa dalam Misi Sukarelawan Siswa Green Summer Volunteer Campaign (GSVC) ke Vietnam bermula 4 Julai hingga 9 Ogos 2024 yang lalu. Sepanjang misi tersebut, para sukarelawan telah ditempatkan di empat (4) lokasi terpilih di sekitar Ho Chi Minh City bagi menjalani aktiviti-aktiviti kesukarelawanan dan berganding bahu bersama penduduk setempat bagi melancarkan gerak kerja projek-projek komuniti.
Antara lokasi yang menjadi tumpuan dalam Misi Sukarelawan Siswa Green Summer Volunteer Campaign (GSVC) pada kali ini ialah:
- An Nhon Tay Commune
- Thoi An Ward, District 12
- Tan Nhut Commune, dan
- Phuoc Loc Commune
Antara beberapa projek yang telah dijalankan sepanjang pelaksanaan misi tersebut meliputi pelbagai aspek pembangunan komuniti dari segi intervensi pendidikan, pembinaan kapasiti, penambahbaikan infrastruktur komuniti setempat hinggalah program kesedaran kesihatan.
Pada 16 Julai 2024, Seramai 12 orang sukarelawan YSS dari Tan Nhut Commune telah bekerjasama dengan lapan orang sukarelawan daripada Ho Chi Minh International University (HCMIU) dalam suatu program intervensi pendidikan awal melalui “Jom Belajar Huruf, Nombor dan Bahagian Badan” bersama para pelajar cilik di Taska Tan Nhut.
Selain itu juga, komuniti setempat di Thoi An Ward juga turut berpeluang meluangkan masa bersama-sama lima orang sukarelawan siswa YSS serta 10 orang kontraktor tempatan dalam melancarkan projek pembinaan dan penambahbaikan taman permainan yang diikuti dengan kerja-kerja pembinaan sistem saliran bagi meningkatkan taraf hidup penduduk.
Secara keseluruhannya, Misi Sukarelawan Siswa Green Summer Volunteer Campaign (GSVC) ke Vietnam 2024 pada kali ini telah melaksanakan sebanyak 172 projek komuniti yang telah menyumbang kepada 1,630 jam kesukarelawanan, sekaligus memanfaatkan lebih 31,000 penduduk di kesemua lokasi.