“Back to School” YSS & Aeon Credit Service M Bhd sasarkan 5 sekolah rendah sekitar Dengkil, Selangor
Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Kementerian Pengajian Tinggi dan Aeon Credit Service M Bhd menyasarkan seramai 524 pelajar sekolah rendah di sekitar Dengkil, Selangor dengan manfaat keseluruhan berjumlah RM106,800.
Pada hujung tahun 2021, sekitar Dengkil juga turut terkesan dengan masalah banjir. Masalah banjir terutamanya bagi kawasan-kawasan baru juga telah menyebabkan banyak kerosakan barang-barang termasuk keperluan sekolah pelajar. Seramai 534 pelajar sekolah rendah golongan B40 dan mangsa terjejas banjir telah dikenalpasti untuk disalurkan sumbangan “Back to School”.
Bantuan awal persekolahan ini adalah berbentuk pakaian, beg, kasut sekolah, stokin, alat tulis, kotak pensil dan kotal pensil mewarna kepada pelajar dengan nilai RM200 bagi setiap seorang pelajar.
Bantuan ini telah disalurkan kepada 5 buah sekolah rendah yang telah dikenalpasti antaranya SK Dengkil, SJKC Dengkil, SJKT Dengkil, SJKT Taman Permata dan SK Tadom.
Wong Kin Lun, Ketua Pegawai Eksekutif YSS berkata, “Back to School” adalah program bantuan awal persekolahan yang dilaksanakan menjelang sesi awal persekolahan bagi bagi membantu mengurangkan beban ibu bapa pelajar yang terjejas dengan banjir tahun lalu. Selain sumbangan RM 50,000.00 daripada Aeon Credit Service M Bhd, dana yang diperolehi oleh YSS semasa banjir tahun lalu juga digunakan dalam projek “Back to School” ini, sebagai sebahagian daripada Misi Pasca Banjir YSS.