Tahun ini Yayasan Sukarelawan Siswa(YSS) akan menyambut sambutan ulang tahun ke-10 bertemakan “Celebrating a decade of Volunteering”.

 

Logo 10 Tahun YSS telah dilancarkan oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia pada 18 Februari 2022 di Karnival KPT Keluarga Malaysia di MRSM Batu Pahat, Johor.

KENALI LOGO 10 TAHUN YSS

Logo rasmi sambutan Ulangtahun ke-10 YSS memaparkan imej sebelah tangan yang diangkat dengan gerak tangan kehadapan diilustrasikan oleh gerakan reben, angka 10, dan logo rasmi YSS. 

Imej sebelah tangan yang diangkat yang merupakan simbolik kepada gerakan kesukarelawanan, menggambarkan sifat altruisme melalui aktiviti sukarelawan yang berimpak tinggi dengan sinergi antara sukarelawan serta penerima manfaat. 

Logo sambutan juga menggambarkan harapan, keamanan dan semangat Sukarelawan Siswa yang membara menelusuri kehidupan merentasi apa jua sempadan melalui kemasan warna emas dan merah.

Kedudukan logo rasmi YSS di dalam angka 10 pula menggambarkan penubuhan YSS yang telah mengatur gerak aktiviti kesukarelawanan siswa berimpak tinggi sedekad kini sejak 2012. 

Ayuh bersama YSS menyambut sedekad penubuhan, sedekad menerajui perubahan, dan sedekad mengukir impak dalam kalangan Sukarelawan Siswa serta komuniti serantau. 

YSS sentiasa komited dalam mencapai objektif yang telah digariskan selari dengan slogan rasmi bagi terus mendampingi serta memenangi hati dan jiwa seluruh warga dunia tanpa mengira sempadan.

YSS terus berperanan dalam melahirkan pemimpin sukarelawan siswa di persada dunia dan menjadikan Malaysia sebagai hub sukarelawan siswa. Sejak penubuhan pada 21 Mac 2012, YSS telah melahirkan 1,481 sukarelawan siswa dan menjalankan 48 Misi Sukarelawan Siswa berimpak tinggi di peringkat antarabangsa dan dalam negara.

Melalui Misi Sukarelawan Siswa YSS di negara-negara ASEAN dan pelaksanaan projek khas di seluruh Malaysia, YSS telah memberi manfaat kepada lebih 1 juta penduduk dengan pelaksanaan lebih 7,000 projek merangkumi pemarkasaan komuniti, penambahbaikan pendidikan & pembangunan kapasiti, ketahan iklim & kelestarian alam sekitar, kesihatan & kesejahteraan, transformasi digital dan mobilisasi impak sosial.