Majlis Amanat YB Menteri Perpaduan Negara
Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) turut bersama 500 warga Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan agensi di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya pada 12 Januari 2023 bagi mendengar amanat Yang Berhormat Menteri Perpaduan Negara, YB Aaron Ago Dagang.
Fokus utama kementerian bagi tahun 2023 masih berpaksikan kepada tiga teras utama Dasar Perpaduan Negara iaitu Patriostime & Demokrasi, Identiti Nasional dan Ekosistem Perpaduan. Selain itu, prinsip Rukun Negara juga turut diperkukuhkan bagi membina perpaduan yang lebih erat dan mempertingkatkan lagi semangat patriotisme serta rasa cinta kepada tanah air dalam kalangan masyarakat.
YB Menteri turut menyatakan, Kementerian juga akan memberi tumpuan kepada pembangunan masyarakat MADANI iaitu usaha membentuk masyarakat yang maju dari segi pemikiran, kerohanian dan pembangunan dengan menyemai nilai-nilai murni seperti saling menghormati sesama rakyat sebagai norma sosial dan budaya kearah pengukuhan penyatupaduan masyarakat secara keseluruhannya.
Majlis lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) turut dilaksanakan oleh seluruh warga Kementerian yang dipimpin oleh Encik Mohamad Sobri mat Daud, Setiausaha Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa KPN dan disaksikan oleh Datuk Razim Mohd Noor, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM.
Antara agensi yang turut bersama adalah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Jabatan Muzium Negara, Arkib Negara Malaysia, Perpustakaan Negara Malaysia, Yayasan Sukarelawan Siswa, Yayasan Tun Abdul Razak dan Yayasan Tunku Abdul Rahman.