Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) telah menganjurkan Program Ini Warisan Kita: Misi Sukarelawan Siswa ke Sabah pada 3 hingga 18 September 2023 di enam lokasi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Sabah antaranya KRK Limbuak, Pulau Banggi, Kudat; KRT Terongkongan Laut, Kudat; KRT Singgahmata, Kota Marudu; KRT Pangkalan Bandau, Kota Marudu; KRT Bipisi, Papar; dan KRT Seri Serbang, Papar.
Misi Sukarelawan Siswa ke Sabah telah melibatkan 94 orang pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) seluruh Malaysia daripada Universiti Awam, Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik, Kolej Komuniti dan Institut Pendidikan Guru Malaysia.
Pada 2 September 2023, sukarelawan siswa terbang dari lokasi masing-masing dan berkumpul di Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk menjalani sesi Pre-Departure Training (PDT) pada 3 & 4 September 2023 sebagai persiapan awal. Semasa PDT, sukarelawan diberikan penerangan dan pendedahan berkenaan dengan lokasi misi hasil daripada tinjauan awal pegawai di lapangan. Mereka juga diberikan latihan bantuan awal kecemasan, bimbingan pengurusan diri, pendedahan adat resam & budaya di sabah, penulisan laporan, kerja dalam kumpulan dan penerangan tentang tugasan sepanjang misi.
Pada 5 September 2023, sukarelawan siswa bergerak dari UMS ke lokasi misi di Daerah Kudat, Kota Marudu dan Papar untuk menjalani Misi Sukarelawan Siswa selama 10 hari bermula 5 hingga 15 September 2023. Semua sukarelawan tinggal bersama dengan host-family masing-masing. Untuk Misi Sukarelawan Siswa ke Sabah, sukarelawan berjaya melaksanakan 153 projek dengan 620 jam sukarelawan dan telah memberikan manfaat kepada 11,752 penduduk kampung dan warga sekolah.
Projek yang dilaksanakan sepanjang misi adalah berteraskan 6 Pillar Kesukarelawanan YSS. Antaranya ialah
P1: Uniti & Pemerkasaan Komuniti,
P2: Penambahbaikan Pendidikan & Pembangunan Kapasiti,
P3: Ketahanan Terhadap Impak Perubahan Iklim & Kelestarian Alam Sekitar,
P4: Kesihatan & Kesejahteraan,
P5: Transformasi Digital, dan
P6: Mobilisasi Impak Sosial.
Selesai sahaja misi, sukarelawan siswa menjalani sesi Post-Mission di UMS pada 16 & 17 September 2023. Mereka perlu membentangkan hasil projek sepanjang misi. YSS juga melantik panel penilai untuk memastikan pengumpulan dan pengurusan data yang betul dan tepat.
Semua sukarelawan pulang ke IPT masing-masing pada 18 September 2023 setelah bergelar Alumni YSS kerana telah berjaya menjalani misi dari awal hingga akhir. Misi Sukarelawan Siswa ke Sabah telah melahirkan 82 #YSSAlumni yang baharu dan menjadikan keseluruhan Alumni YSS seramai 1,713 dan melaksanakan 55 Misi Sukarelawan Siswa sejak penubuhan pada tahun 2012.