PROJEK “FUN LEARNING” YSS DI KAMPUNG SINGGAH MATA
Sukarelawan Siswa yang ditempatkan di Kampung Perpaduan, Pulau Banggi, Kudat mengambil inisiatif untuk melaksanakan aktiviti “Fun Learning” bersama 49 kanak-kanak di Kampung Singgah Mata.
Projek ini dilaksanakan oleh Khairul Nizam (UPSI), Muhammad Alif Danial (IPGKDRI) dan Nur Hafizah (UiTM) di bawah pilar kesukarelawanan YSS iaitu penambahbaikan pendidikan dan pembangunan komuniti.
Khairul berkata, “Inisiatif ini diadakan di Kampung Singgah Mata kerana pada masa kami disana ialah cuti sekolah. Kampung tersebut merupakan tempat yang strategik kerana terdapat ramai murid-murid dari SK Karakit berasal dari kampung tersebut.”
“Setiap pagi, kami akan berjalan kaki sejauh 700 meter dari Kampung Perpaduan ke Kampung Singgah Mata dengan membawa alat bantu mengajar seperti “white board” yang dipinjamkan oleh Surau SK Karakit”, tambah Nazim.
Pihak sekolah menyatakan antara matapelajaran yang murid-murid paling lemah adalah Matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab. Oleh itu, sukarelawan siswa memfokuskan 2 subjek utama iaitu Bahasa Inggeris dan Matematik bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang.
“Pada mulanya saya kurang yakin untuk mengajar kerana saya bukan berlatar belakang perguruan. Namun sukarelawan mendidik saya untuk menimba pengalaman baru dan menggunakan peluang ini untuk berkongsi ilmu dengan adik-adik”, sambung Hafizah.
“Saya tarik minat mereka dengan barang-barang seperti penanda buku yang saya bawa bersama, akhirnya mereka tertarik untuk sertai kami. Keesokkan hari, mereka yang datang mencari kami dengan penuh semangat”, katanya lagi.
Selain itu, YSS sentiasa menerapkan nilai-nilai kepimpinan untuk melahirkan ikon sukarelawan dan berharap pelajar yang menyertai misi akan lebih dekat dengan komuniti.
Aliff berkata, “sebagai bakal guru, saya harus sentiasa memikirkan kaedah terbaik dan menarik untuk membantu murid-murid terutamanya dalam mengajar bahasa asing. Misi ini memberi peluang kepada saya untuk berinteraksi secara terus untuk mengajar murid-murid sekolah”.
Selain daripada itu, sukarelawan siswa juga menjalankan sesi mengajar rumah ke rumah untuk membantu mendidik anak-anak penduduk tempatan bagi mengisi masa lapang mereka ketika cuti sekolah.