350 MURID SEKOLAH BAKAL MENERIMA MANFAAT PROJEK LALUAN PEJALAN KAKI DI SK KARAKIT
3 September 2022 | Kudat
Hampir 350 murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Karakit, Kudat di sini bakal menerima manfaat sebaik sahaja projek laluan pejalan kaki dijangka siap pada 8 September 2022.
Projek laluan pejalan kaki ini melibatkan 15 orang sukarelawan siswa yang menyertai Misi Sukarelawan Siswa YSS ke Kampung Perpaduan (Pulau Bangi), Kudat. Para sukarelawan turut dibantu oleh penduduk kampung, pihak sekolah dan pasukan ESSZONE RELA Banggi untuk menyiapkan laluan pejalan kaki dengan jarak 71.3 meter.
Fayzah Addawiyah, sukarelawan berkata “Projek ini bertujuan untuk memudahkan pihak sekolah dan murid-murid untuk menggunakan jalan tersebut apabila hari hujan.”
“Menurut warga sekolah, jalan tersebut sering berlaku banjir dengan air setinggi buku lali,” katanya.
Pada 1 September 2022, seramai 100 sukarelawan siswa dari pelbagai Institusi Pengajian Tinggi Malaysia telah menjalankan aktiviti sukarelawan di tiga daerah merangkumi Kudat, Tuaran dan Beluran. Mereka tinggal bersama penduduk tempatan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan meliputi bicara siswa (sesi motivasi bersama pelajar), menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma bersama klinik kesihatan yang berdekata, menyediakan kelas tambahan percuma, dan pelbagai aktiviti pembangunan komuniti yang lain sehingga 11 September 2022 kehadiran mereka di lokasi misi.