YSS dan KPN Lakar Detik Bermakna di Karnival Sama-Sama Kita 2023
Putrajaya – Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan JomRun telah menganjurkan ‘Karnival Sama-Sama Kita’ di Dataran Wawasan, Presint 2, Putrajaya yang bermula pada 23 Disember hingga 24 Disember 2023. Karnival yang berlangsung sepanjang dua hari itu bertujuan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat selaras dengan tema kluster Semarak Perpaduan dibawah Dasar Perpaduan Negara melalui aktiviti-aktiviti bersifat rekreasi.
Pelbagai aktiviti menarik dijalankan sepanjang karnival itu berlangsung antaranya Zumba, pertunjukan kebudayaan, permainan arked dan permainan tradisional seperti batu seremban, teng-teng, congkak dan tuju tin. Selain itu, para peserta karnival turut berpeluang untuk mewarnai keunikan budaya bangsa melalui pertandingan Busana Tradisional Terbaik.
Antara tarikan utama pengunjung karnival tersebut ialah acara larian Fun Run yang telah berjaya menghimpunkan lebih daripada 20,000 penyertaan daripada kalangan orang awam serta acara berbasikal sejauh 60 kilometer. Kehadiran Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yang Berhormat Senator Puan Saraswathy Kandasami dan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Yang Berbahagia Datuk Azman Mohd Yusof, dalam sesi ‘flag-off’ larian tersebut turut menyemarakkan lagi detik-detik perpaduan yang dikongsi bersama.
“Tujuan kita adakan program sebegini adalah untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat, dan kita lihat semua lapisan masyarakat tua, muda, kanak-kanak dan bayi mengambil bahagian. Ini adalah selaras dengan tema kluster Semarak Perpaduan dibawah Dasar Perpaduan Negara dan Kementerian Perpaduan Negara akan terus komited untuk ’merakyatkan perpaduan’ di Negara ini,” kongsi Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yang Berhormat Senator Puan Saraswathy Kandasami semasa karnival tersebut.
Di Karnival Sama-Sama Kita ini, YSS dan KPN turut melakar detik-detik bermakna setelah satu rekod tercipta berikutan penyertaan 1,040 peserta untuk membentuk formasi logo Malaysia MADANI. Rekod tersebut telah diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records (MBR) sebagai ‘Peserta Terbanyak membentuk Logo MADANI’ di Dataran Wawasan Putrajaya.