YSS Tampilkan 440 Individu Teguh Keharmonian Dalam Kepelbagaian Melalui Kontinjen Komuniti Malaysia MADANI
Sempena Sambutan Hari Kebangsaan yang ke-67, Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) telah menghantar seramai 440 orang wakil pelajar daripada lebih 40 buah Institut Pengajian Tinggi (IPT) untuk menyertai Perbarisan Kontinjen Perpaduan – Kontinjen Komuniti Malaysia MADANI sewaktu perarakan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2024 yang lalu.
Bertemakan ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’, acara sambutan Hari Kebangsaan yang ke-67 baru-baru ini turut melibatkan lebih 17,000 orang peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat, 59 kontinjen, 24 pasukan pancaragam dan memperlihatkan lebih 400 aset ketenteraan dalam acara gilang-gemilang yang diadakan di Dataran Putrajaya itu.
Perbarisan Kontinjen Komuniti Malaysia MADANI yang diterajui Kementerian Perpaduan Negara (KPN) adalah merupakan suatu kelainan yang dibawakan khas dalam Sambutan Hari kebangsaan yang ke-67 kali ini di samping tujuh lagi komponen perbarisan dan perarakan seperti Kontinjen Kesejahteraan dan Keselamatan, Kontinjen Kenegaraan, Kontinjen Kembara Merdeka Jalur Gemilang, Kontinjen GLC dan GLIC, Kontinjen Industri Kreatif dan Penyiaran serta Kontinjen Sukan Negara.
Seramai 779 individu yang memantapkan perbarisan Kontinjen Komuniti Malaysia MADANI ini terdiri daripada golongan belia dan individu daripada pelbagai latarbelakang kaum di Malaysia seperti Cina, India, Sikh, Punjabi, Orang Asli, komuniti Siam, etnik Chetti, Baba dan Nyonya, serta puluhan etnik-etnik yang unik daripada Sabah dan Sarawak, lantas mengetengahkan konsep kebersamaan rakyat yang holistik serta perlambangan kesepaduan yang teguh.
Buat pertama kali dalam sejarah perarakan dan perbarisan Hari Kebangsaan, kontinjen ini merupakan kontinjen terbesar di mana keseluruhan 779 individu yang menyertai kontinjen tersebut masing-masing menampilkan busana tradisional yang menjadi simbolik keunikan setiap etnik yang berbeza di Malaysia.
Keunikan Perbarisan Kontinjen Perpaduan – Kontinjen Komuniti Malaysia MADANI ini ditonjolkan lagi dengan penggunaan alatan (props) dan persembahan khas sebagai simbolik keharmonian dalam kepelbagaian masyarakat Malaysia, antaranya Kumpulan Jidur & Tetuang, Kumpulan Kompang, Tarian Naga & Singa, Chinggay, Pergendangan Baghra dan Urumi, Tarian Merak serta Perarakan Kuda & Pahlawan Bajau.
Para peserta kontinjen telah melalui fasa latihan dan sesi raptai yang rapi terlebih dahulu selang beberapa hari sebelum acara kemuncak. Kontinjen tersebut juga berpeluang untuk bersama-sama berhimpun di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 31 Ogos yang lalu dalam Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 yang disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.
Saksikan cuplikan daripada Perbarisan Kontinjen Perpaduan – Kontinjen Komuniti Malaysia MADANI di saluran TikTok rasmi Yayasan Sukarelawan Siswa: