11 BUAH SEKOLAH MENDAPAT MANFAAT DARIPADA BENGKEL SKOR A SPM DAN PROGRAM PEMUPUKAN & PEMBANGUNAN PELAJAR
KUDAT: Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dengan kerjasama Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera Malaysia telah menganjurkan Bengkel Skor A SPM dan Program Pemupukan & Pembangunan Pelajar (NDP) Kohort 2 di Dewan Persatuan Hakka, Kudat, Sabah.
Bengkel tersebut telah diadakan bermula 1 hingga 2 November 2022 dengan penglibatan seramai lebih 500 pelajar Tingkatan 4 & Tingkatan 5 daripada 11 buah sekolah dari sekitar Daerah Kudat.
Fokus utama bengkel adalah 5 matapelajaran teras merangkumi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah dan Sains termasuk Pendidikan Islam dengan kehadiran penceramah yang terdiri daripada guru-guru cemerlang.
Terdahulu bermula Ogos 2022 hingga Januari 2023 akan datang, YSS menganjurkan kelas tuisyen percuma melibatkan dua buah sekolah di Kudat melibatkan 200 calon SPM dari SMK Abdul Rahim dan SMK Abdul Rahim ll, Kudat.
Selari dengan usaha tersebut, YSS mengadakan bengkel ini sebagai platform meningkatkan motivasi dan meningkatkan semangat belajar yang lebih efektif untuk pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM.
Bengkel ini juga turut dibantu oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Pejabat Pendidikan Daerah Kudat.
2 November 2022