Misi Bantuan Banjir ke SK Kampung La, Jerteh, Terengganu
Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) telah menggerakan misi bantuan banjir ke Sekolah Kebangsaan Kampung La, Jerteh, Terengganu pada 31 Disember 2022. Fokus utama adalah melaksanakan kerja-kerja pembersihan sekolah yang teruk dilanda banjir yang berlaku sejak awal Disember 2022.
Misi tersebut turut disertai oleh 60 sukarelawan siswa daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Dato’ Razali Ismail (IPGKDRI), University College MAIWP International (UCMI) serta Alumni YSS. Selain Institusi Pendidikan Tinggi, misi ini juga turut melibatkan sukarelawan daripada Majlis Daerah Temerloh dan Skuad Uniti, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Kampung La.
YSS juga turut menyalurkan sumbangan bantuan makanan kepada 150 keluarga yang terjejas akibat banjir yang telah disempurnakan oleh Tuan Mohd Rosli Bin Alias, Pengarah Perpaduan Negeri Terengganu, Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) Terengganu. Penerima manfaat merupakan keluarga mangsa yang terdiri daripada pelajar Sekolah Kebangsaan Kampung La dan juga mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Kampung La, Jerteh, Terengganu.
Penerima manfaat telah menerima sumbangan berbentuk barangan antaranya beras 5Kg, mee segera, minyak masak 2Kg, susu krimer manis, tepung gandum, teh uncang, sardin, gula 1kg, garam 500 gram, berus gigi dan ubat gigi.