Ini Warisan Kita: Misi Sukarelawan Siswa ke Sarawak 2023
Seramai 95 Pemimpin Sukarelawan Siswa mewakili pelbagai institut pengajian tinggi (IPT) telah menyertai Program Ini Warisan Kita: Misi Sukarelawan Siswa ke Sarawak 2023 yang dianjurkan oleh Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) pada 3 hingga 19 November. Misi yang dijalankan sepanjang tempoh dua minggu tersebut merupakan sebahagian daripada program mercu yang dilaksanakan oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) di bawah inisiatif Kembara Perpaduan bertujuan melestarikan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Misi Sukarelawan Siswa ke Sarawak 2023 kali ini melibatkan enam lokasi iaitu: Kampung Sungai Maong, Petra jaya; Nanga Machan, Kanowit; Kampung Daha, Serian; Long Laput, Telang Usan; Long Kevok, Telang Usan dan Ba’kelalan, Lawas yang masing-masing menempatkan enam variasi etnik dan suku kaum di Sarawak antaranya kaum Melayu Sarawak, kaum Iban, kaum Bidayuh, kaum Kayan, kaum Penan serta kaum Lun Bawang.
Perasmian “flag-off” Ini Warisan Kita: Misi Sukarelawan Siswa ke Sarawak 2023 yang bertempat di DRB-HICOM Training Centre, Port Dickson turut dihadiri oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Sebanyak 177 aktiviti dan program yang melibatkan 940 jam tempoh kesukarelawan telah dilaksanakan sepanjang misi berlangsung, manakala jumlah penerima manfaat bagi aktiviti yang dijalankan adalah seramai 5,555 orang.
Antara program yang dijalankan oleh para sukarelawan sepanjang tempoh misi adalah seperti lukisan mural di Tabika Kemas Kampung Sungai Maong dan Larian Sayangi Alam Sekitar, projek ‘Veg @ bamboo’ dan ‘Hydroponic Farm’ menggunakan barangan terpakai di Kampung Long Kevok dan Kampung Long Laput, serta projek kitar semula dan literasi digital di Nanga Machan.
Selain itu juga, program yang berteraskan Penambahbaikan Pendidikan dan Pembangunan Kapasiti turut dijalankan dengan Bengkel Tapau Sifir yang melibatkan seramai 12 orang sukarelawan siswa serta 88 orang murid di Sekolah Kebangsaan Daha yang seterusnya dilanjutkan dengan beberapa lagi aktiviti selingan seperti program latihan keselamatan kebakaran dan pertolongan cemas.
Di Ba’kelalan pula, lima orang sukarelawan menggembleng tenaga dengan penduduk setempat dalam projek penampalan jalan yang berlubang menggunakan simen sejauh 1.7 kilometer bagi memudahkan akses kepada penduduk di Kampung Buduk Nur dan Kampung Long Langai
Aktiviti kemuncak bagi Misi Sukarelawan Siswa ke Sarawak 2023 dimeriahkan dengan pelbagai acara yang bertemakan adat resam masyarakat berbilang kaum dan etnik di Sarawak seperti adat perkahwinan melayu Sarawak, juadah warisan dan persembahan tarian tradisional pada Malam Warisan Budaya Bangsa yang diadakan di setiap lokasi sebagai program terakhir sebelum para sukarelawan berangkat pulang.
Kesemua sukarelawan siswa akhirnya selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 November sebelum menjalani sesi pembentangan akhir pasca-misi dan majlis penutup yang bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).