PPEK 2023/2024 Memacu Pertumbuhan Ekonomi Komuniti Sabah
Sabah – Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), dengan kerjasama Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) dan Kementerian Perpaduan Negara (KPN), telah menjayakan Program Pembangunan Ekonomi Komuniti (PPEK) Sabah 2023/2024 seiring dengan inisiatif berterusan Kementerian Ekonomi Malaysia bagi memacu ekonomi golongan sasar, khususnya masyarakat Bumiputera di Sabah serta menangani isu kos sara hidup yang semakin meningkat melalui latihan dan bimbingan keusahawanan secara intensif.
Pelaksanaan program tersebut mulai Disember 2023 hingga Januari 2025 adalah selaras dengan beberapa justifikasi penting yag dirangka kerajaan bagi meningkatkan kemahiran, memperkasakan ekonomi dalam negara, serta menangani isu sosial seperti yang dinyatakan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Dasar Perpaduan Negara (DPN), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), dan Kerangka Dasar Malaysia MADANI. Melalui peluang peningkatan kemahiran dan skim latihan yang relevan, program seumpama ini mencipta peluang pekerjaan serta membantu masyarakat setempat, terutamanya golongan B40 luar bandar dan ibu tunggal bagi meningkatkan pendapatan isi rumah.
Antara modul yang ditawarkan untuk memperkasa sektor keusahawanan komuniti dan para peserta Program Pembangunan Ekonomi Komuniti (PPEK) Sabah 2023/2024 merangkumi pelbagai bidang kemahiran dan pengurusan perniagaan antaranya pendigitalan perniagaan, komunikasi kreatif keusahawanan, pemasaran, analisis perniagaan, literasi kewangan serta perundangan.
Seramai 360 individu berusia antara 18 hingga 65 tahun telah dipilih untuk menyertai program ini. Peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang, termasuk individu yang tidak bekerja, tidak bersekolah, peniaga kecil dan sederhana, serta mereka yang terlibat dalam industri kraf tangan, pertanian, pelancongan, dan keusahawanan.
Program ini dilaksanakan di beberapa lokasi di Sabah, iaitu Pulau Banggi, Kudat; Matunggong, Kudat; Kundasang, Ranau; Sook, Keningau; dan Semporna. Setiap lokasi mempunyai jumlah taburan peserta yang berbeza dan para peserta berpeluang untuk memperkembangkan pengetahuan dan kemahiran kesusahawanan memulakan perniagaan mereka sendiri bagi merealisasikan impian kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera yang berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sabah.