Yayasan Sukarelawan Siswa Sambut Ulang Tahun Ke-12
Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) telah menyambut ulang tahun yang ke-12 pada 21 Mac 2024 yang lalu. Sejak penubuhannya pada tahun 2012, YSS komited untuk terus mewujudkan ekosistem kesukarelawanan belia yang kekal dampak bagi merealisasikan aspirasinya untuk menjadi sebuah hab kesukarelawanan yang yang berprestij, sekaligus memacu Malaysia sebagai penggerak utama mobilisasi impak sosial dan usaha kelestarian global.
Meskipun matlamat untuk memupuk semangat kesukarelawanan belia khususnya daripada golongan penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia sebelum ini telah melalui beberapa penambahbaikan sejak penstrukturan semula YSS di bawah Kementerian Perpaduan Negara (KPN) pada 3 Disember 2022, intipati daripada matlamat tersebut kekal relevan sebagai suatu nilai tambah dalam usaha untuk memperkukuh integrasi nasional dan perpaduan masyarakat Malaysia yang dinamik bagi memenuhi Agenda Perpaduan Negara.
Yang Berhormat Datuk Aaron Ago Anak Dagang, Menteri Perpaduan Negara, menerusi suntingan beliau di platform media sosial Facebook turut mendedikasi penghargaan dan harapan beliau kepada YSS agar terus memurnikan pelbagai aktiviti kesukarelawanan di peringkat komuniti khususnya belia bagi melahirkan modal insan yang cakna akan kemaslahatan sosial dan berkaliber untuk memimpin masyarakat yang bersatu-padu berteraskan gagasan Malaysia MADANI.