Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) Bersama ReSkills Edtech Sdn Bhd
Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dan ReSkills Edtech Sdn Bhd telah memeterai suatu Memorandum Perjanjian (MoA) untuk menjadi rakan kerjasama dalam usaha memperkasa pengetahuan serta kemahiran sukarelawan YSS dan penerima manfaat di bawah inisiatif Global ReSkilling Movement (GRM). Pemeteraian Memorandum Perjanjian tersebut berlangsung di ibu pejabat YSS yang terletak di Kompleks F, Presint 1, Putrajaya.
Global ReSkilling Movement (GRM) merupakan sebuah langkah proaktif yang diteraju oleh Jin Tan selaku Ketua Pegawai Eksekutif ReSkills Edtech Sdn Bhd yang juga merupakan Ketua Gerakan Global GRM bersama-sama Aimi Salma, Pengerusi Penganjur GRM; Datuk Azhar Muhammad, Pengerusi GRM serta duta-duta GRM yang lain. Melalui pelbagai inisiatif dan program yang diketengahkan oleh pihak GRM dan Reskills Edtech Sdn Bhd, kedua-dua organisasi tersebut menitikberatkan perkembangan sosial yang mampan serta pembentukan modal insan yang berdaya saing di seluruh dunia bertunjangkan prinsip peningkatan kemahiran (upskill) dan latihan kemahiran semula (reskill).
Pemeteraian Memorandum Perjanjian antara YSS dan ReSkills Edtech Sdn Bhd pada 13 Jun 2024 yang lalu telah membuka peluang bagi menyerlahkan potensi individu dan golongan belia sekaligus menjurus ke arah pertumbuhan ekonomi yang utuh dipacu oleh modal insan yang berkebolehan dalam segenap aspek kehidupan.
Antara penekanan utama yang diberikan melalui hasil Pemeteraian Perjanjian tersebut termasuklah:
- Pendidikan Berkualiti
- Akses Pembelajaran
- Peningkatan Kobolehpasaran Di Alam Pekerjaan dan Pertumbuhan Ekonomi
ReSkills Edtech Sdn Bhd adalah merupakan salah satu organisasi penggerak di bawah inisiatif GRM yang menawarkan pelbagai kursus kemahiran dan latihan kerjaya secara dalam talian. Sejak penubuhannya pada tahun 2020, ReSkills Edtech Sdn Bhd telah menerima sambutan hangat daripada segenap lapisan masyarakat bagi akses pembelajaran dan latihan kemahiran yang komprehensif dan fleksibel.