Majlis Perasmian Program Usaha Jaya Insan (PUJI) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Majlis Perasmian Program Usaha Jaya Insan (PUJI) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah dirasmikan oleh YB Dr. Zaliha Binti Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) pada 30 Jun 2024 yang lalu bertempat di Tamu Hotel and Suites, Kuala Lumpur.
Program Usaha Jaya Insan (PUJI) telah dirangka bagi mengenalpasti golongan berpendapatan rendah sekaligus membolehkan intervensi pembangunan sosial dijalankan melalui latihan pendayaupayaan dan kemahiran menjana pendapatan sebagai suatu ‘exit strategy’ daripada kepompong kemiskinan yang membelenggu komuniti B40. Program yang akan bermula pada 1 Julai 2024 hingga 30 Jun 2025 ini bakal melibatkan seramai 105 individu daripada 325 ketua isi rumah yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang sosioekonomi telah dikenalpasti melalui proses profiling serta identifikasi minat dan kecenderungan mereka.
Antara enam (6) modul kemahiran yang dilaksanakan bagi memperkukuh kesiapsiagaan dan kemahiran keusahawanan para peserta program tersebut ialah:
- Modul asas penyediaan makanan
- Modul asas asuhan kanak-kanak
- Modul asas seni kreatif
- Modul asas dandanan rambut
- Modul asas jahitan dan sulaman
- Modul asas pendawaian
Yayasan Sukarelawan Siswa, melalui hasil kerjasama dengan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah dilantik sebagai antara penggerak utama program ini yang menguruskan proses pengenalpastian individu berpotensi hingga khidmat bimbingan dan nasihat.
Turut hadir sewaktu perasmian program tersebut ialah YBhg. Dato’ Indera Noridah Abdul Rahim, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan; YBrs. Tuan Ismadi Sakirin, Pengarah Eksekutif (Sosio Ekonomi) DBKL; dan YBrs. Dr. Wan Ahmad Hazman Wan Daud, Pengarah Eksekutif YSS.