Persidangan Sukarelawan Dunia IAVE Ke-27 di Busan
Persidangan Sukarelawan Dunia kali ke-27 yang dianjurkan oleh The International Association for Volunteer Effort (IAVE) yang berlangsung pada 22 Oktober hingga 25 Oktober 2024 lalu telah menghimpunkan lebih 1,500 delegasi antarabangsa yang mewakili lebih daripada 90 buah negara untuk bersama-sama berdiskusi akan perencanaan hala tuju usaha kesukarelawanan antarabangsa pada era globalisasi.
Sehubungan dengan itu, Yayasan Sukarelawan Siswa telah menghantar beberapa pegawai YSS-All Stars selaku delegasinya ke persidangan tersebut yang berlangsung di Wilayah Busan, Korea Selatan. Antara delegasi yang turut serta ke persidangan itu termasuklah Encik Rahim Rahman, Ketua Pusat Kecemerlangan Kesukarelawanan YSS; Encik Wong Kin Lun, Ketua Pegawai Eksekutif YSS diiringi oleh beberapa pegawai YSS yang lain.
Sesi pleno sepanjang persidangan tersebut banyak menekankan peranan industri dan korporat dalam memperkasa aktiviti kesukarelawanan, cabaran semasa dan perubahan iklim serta wawasan kesukarelawanan global.
Dalam sesi persidangan itu juga, beberapa penyelarasan dan rangka kerja terkehadapan turut diutarakan oleh beberapa ahli panel antarabangsa meliputi perihal permodalan dan sumber pelaburan yang diperlukan bagi menjamin suatu ekosistem dan infrastruktur kesukarelawanan yang menyeluruh, pembentukan polisi kesukarelawan yang manusiawi dan holistik serta langkah mitigasi sosial dalam menghadapi cabaran kemajuan teknologi yang juga berpotensi untuk memberi impak terhadap sektor kesukarelawanan antarabangsa.