YSS dan Technip Energies Giat Perkasa STEM dan Kemampanan Dalam Kalangan Mahasiswa
Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) telah menjalin suatu permuafakatan erat bersama Technip Energies (M) Sdn. Bhd., antara salah satu pengendali solusi kejuruteraan dan teknologi peralihan tenaga terkemuka di Malaysia dalam sebuah program perkongsian antara industri dan penuntut institut pengajian tinggi (IPT) bertempat di The Everly, Putrajaya pada 16 Oktober 2024 yang lalu.
Program yang memfokuskan Pemerkasaan Ilmu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Kemampanan Dalam Kalangan Mahasiswa itu telah disempurnakan oleh Christophe Virondaud, Pengarah urusan Asia Pasifik Technip Energies diiringi oleh Dr. Wan Ahmad Hazman Wan Daud, Pengarah Eksekutif YSS.
Lebih 200 orang pelajar IPT mewakili lapan buah universiti tempatan turut hadir bagi bersama-sama menghayati pengisian program antaranya Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Kuala Lumpur Malaysia France Institute, Universiti Teknologi MARA Shah Alam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Universiti Tenaga Nasional.
Dengan jalinan kerjasama antara kedua-dua organisasi ini, YSS beriltizam untuk turut mempergiat bidang ilmu STEM melalui kolaborasi strategik untuk menarik minat lebih ramai ramai golongan belia untuk berkecimpung dalam segenap aspek kemahiran dan bidang ilmu untuk menyumbang dalam pembentukan negara bangsa yang lebih mampan, berdaya saing dan berinovasi.
Antara pengisian program yang dilaksanakan banyak menjurus ke arah perbincangan trend terkini industri kemampanan dan peralihan tenaga, bengkel kerjaya serta sesi perkongsian mengenai kesihatan, keselamatan dan alam sekitar (HSE) yang signifikan dalam disiplin kejuruteraan.