93 Sukarelawan Santuni Penduduk Kampung Belimbing Dalam Program Gotong-Royong Perdana dan Bekwoh Kampung Angkat MADANI
Seramai 93 orang sukarelawan telah berhimpun di Kampung Belimbing, Tanah Merah, Kelantan dalam satu Program Gotong-Royong Perdana dan Bekwoh Kampung Angkat MADANI hasil kerjasama pihak Pejabat Perdana Menteri, Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Universiti Malaysia Kelantan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Sekretariat Bersama penduduk Kampung Belimbing.
Antara aktiviti yang turut dijalankan sepanjang pelaksanaan program tersebut ialah program penyelenggaraan dan pembersihan Tanah Perkuburan Islam dan pembersihan fasiliti serta surau komuniti.
Kementerian Perpaduan Negara yang giat menyebarluaskan usaha integrasi nasional bagi memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum kini telah diberi mandat untuk melaksanakan pelbagai Program Kampung Angkat MADANI yang julung kalinya dicetuskan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Program ini bertujuan memastikan kebajikan dan taburan kemudahan asas yang cukup sekaligus menambahbaik mutu hidup rakyat di kawasan-kawasan luar bandar.
Kampung Belimbing, antara kampung yang dipilih sebagai salah satu Kampung di bawah lembayung program tersebut telah beberapa kali menerima lawatan turun padang daripada Pejabat Perdana Menteri sebelum gotong-royong tersebut dimulakan.
Secara umumnya, Sebanyak 42 buah kampung di seluruh Malaysia telah diisytiharkan sebagai Kampung Angkat MADANI dan lebih 308 projek telah dijalankan dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta bagi setiap kampung.