Ini Warisan Kita: Misi Sukarelawan Siswa ke Sarawak 2024
Pada 25 Oktober hingga 9 November 2024 yang lalu, Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) telah menyantuni penduduk di beberapa lokasi terpilih di Sarawak sempena dengan keberlangsungan Ini Warisan Kita: Misi Sukarelawan Siswa ke Sarawak 2024. Antara enam (6) lokasi yang menjadi tumpuan bagi gerakan aktiviti kesukarelawanan siswa pada tahun ini ialah Kampung Kolong 1 dan Kampung Kolong 2, Petra Jaya, Kuching; Uma Kelep dan Uma Lahanan, Sungai Asap; Rh. Jala, Nanga Niaw; dan Rh. Galana, Nanga Tekalit.
Sepanjang tempoh dua minggu misi ini berlangsung, para sukarelawan siswa YSS dipecahkan kepada beberapa kumpulan yang bakal beroperasi di lokasi-lokasi yang telah ditentukan untuk beramah-mesra bersama keluarga angkat dan penduduk setempat sebelum aktiviti-aktiviti kesukarelawan dan projek-projek komuniti dapat dimulakan.
Selain daripada itu, para sukarelawan turut berpeluang untuk merasakan sendiri pengalaman dan keunikan tradisi setiap suku kaum dan etnik yang berbeza di Sarawak. Seiring dengan matlamat utama pelaksanaan program Ini Warisan Kita: Misi Sukarelawan Siswa ke Sarawak 2024, program ini telah berjaya memberikan impak yang positif terhadap masyarakat setempat melalui projek-projek komuniti, intervensi pendidikan dan pemahaman budaya yang dijalankan hasil kerjasama erat antara penduduk dan para sukarelawan.
Antara beberapa projek dan aktiviti berimpak termasuklah ujian saringan kesihatan yang dijalankan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Bintulu di Uma Kelep, Sungai Asap, projek menaik taraf gelanggang futsal dan pembersihan Dewan Serbaguna di Kampung Kolong 2, program kelestarian alam sekitar, serta inisiatif sokongan pendidikan ‘Math Adventure Station’ bersama 36 orang pelajar sekolah menengah di Rh, Jala, Nanga Miaw.
Keseluruhan pelaksanaan Ini Warisan Kita: Misi Sukarelawan Siswa ke Sarawak kali ini telah berjaya memanfaatkan lebih 40,000 individu di kesemua lokasi melalui 175 projek komuniti, sekaligus menyumbang kepada lebih 1,000 jam kesukarelawanan yang berimpak.
Saksikan imbasan aktiviti dan pengisian sepanjang pelaksanaan Ini Warisan Kita: Misi Sukarelawan Siswa ke Sarawak 2024: