1,040 Belia IPT Sahut Seruan Kelestarian Kesukarelawanan Dalam Sesi Pemilihan Sukarelawan Siswa 2024
Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) telah melaksanakan Sesi Pemilihan Sukarelawan Siswa YSS 2024 Siri 1 bertempat di tiga zon pilihan antaranya Zon Sabah, Zon Sarawak dan Zon Semenanjung. Sesi pemilihan pada awal tahun ini yang berlangsung pada 26 Mac hingga 31 Mac 2024 itu telah melibatkan penyertaan seramai 1,040 orang calon daripada kalangan belia Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh Malaysia. Antara lokasi tumpuan yang menjadi pusat pemilihan tersebut dijalankan adalah di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), dan Kementerian Perpaduan Negara (KPN).
Bertunjangkan nilai YSS yang mengetengahkan prinsip “The Right Volunteer for the Right Job,” Sukarelawan yang berjaya melepasi saringan dan temuduga sepanjang tempoh pemilihan tersebut bakal mempraktikkan pembelajaran mereka di lapangan melalui pelbagai Misi Sukarelawan Siswa yang akan dianjurkan dengan kerjasama YSS dan rakan kongsi strategik.
Para pelajar dan belia yang dijemput bagi menghadiri Sesi Pemilihan Sukarelawan Siswa YSS 2024 Siri 1 perlu melalui proses jemputan secara rasmi yang telah dihantar oleh YSS melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) masing-masing terlebih dahulu sebelum dibolehkan untuk meghadiri sesi pemilihan tersebut.