Jom Sahur KPT x YSS Prihatin
Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Kementerian Pengajian Tinggi telah menjalankan Program Jom Sahur KPT x YSS Prihatin bersama penduduk kampung Orang Asli di Balai Raya Kampung Orang Asli Sungai Buah, Dengkil, Sepang, Selangor pada 27 April 2022.
Program tersebut telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi yang juga Penaung YSS. Seramai 80 ketua isi rumah keluarga Orang Asli telah menghadirkan diri untuk menerima barangan yang disumbangkan. Mereka terdiri dari Kampung Orang Asli Sungai Buah Dalam (Kelebang), Kampung Orang Asli Sungai Buah dan Kampung Orang Asli Bukit Tunggul.
Setiap yang hadir telah menerima pek makanan sahur untuk seisi keluarga dan pek bakul makanan untuk bantuan raya. YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad juga turut bersukacita menyampaikan bakul makanan dan menyantuni beberapa warga emas dari rumah ke rumah.
Kita berharap inisiatif ini dapat meringankan beban keluarga dan memeriahkan lagi hari berbaki bulan Ramadan bagi tahun 2022. YSS mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan program ini berjalan dengan lancar.
Turut hadir Dr. Mohd Zabri Yusoff, TKSU Pengurusan & Pembangunan, Dato’ Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, TKSU Dasar, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Encik Wan Ahmad Hazman, Timbalan Pengerusi YSS dan Encik Wong Kin Lun, Ketua Pegawai Eksekutif YSS.