MISI SUKARELAWAN SISWA YSS

YSS mengadakan misi ke luar negara sejak tahun 2012 dan misi dalam negara pada tahun 2013. Misi Sukarelawan Siswa YSS bermatlamat untuk melahirkan pemimpin sukarelawan siswa di pentas global dan menjadikan Malaysia sebagai hab sukarelawan siswa.

Misi tersebut dilaksanakan menerusi konsep “immersion” dimana sukarelawan siswa akan tinggal bersama komuniti tempatan dan melaksanakan kerja sukarelawan mengikut bidang pengajian masing-masing berteraskan “right volunteers for the right job”.

Sukarelawan siswa dipilih menerusi proses temuduga yang dilakukan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah/Pengarah YSS. Calon yang diberi keutamaan ialah mereka yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan mereka yang mempunyai semangat sukarelawan yang tinggi serta aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.

Sukarelawan siswa yang terpilih akan menjalani “Pre-Departure Training” selama 3 hari sebagai persediaan awal dari segi mental dan fizikal sebelum melaksanakan aktiviti kesukarelawanan di lapangan. PDT akan memberi gambaran misi, teknik menulis laporan, teknik mengambil gambar dan video, prosedur bantuan kecemasan dan lain-lain perkara asas kesukarelawanan. Mereka juga akan didedahkan mengenai budaya, bahasa dan pantang larang masyarakat di lokasi sasaran.

Misi Sukarelawan siswa YSS diadakan selama 2 minggu atau 1 bulan. Mereka akan tinggal bersama “host-family”. Setiap tahun YSS mengambil 300-400 sukarelawan siswa untuk menyertai misi iaitu daripada lebih 700 siswa yang hadir sesi temuduga dari pelbagai Institusi Pengajian Tinggi seluruh Malaysia. Sukarelawan akan melaksanakan misi berpandukan 6 kluster kesukarelawanan YSS.

Setelah selesai menjalani misi, sukarelawan siswa akan mengikuti program “Post Mission”. Melalui program ini, sukarelawan akan membentangkan hasil dan impak projek serta berkongsi pengalaman sepanjang misi. Mereka juga digalakkan untuk membentangkan laporan misi kepada Institusi Pengajian Tinggi masing-masing.

Sebelum sukarelawan dihantar ke luar negara dan dalam negara, YSS akan menghantar pasukan “recce” untuk meninjau kesesuaian kawasan bagi melaksanakan tugas-tugas sukarelawan. Antara kriteria yang diberikan perhatian adalah faktor keselamatan, status sosial penduduk, sumber ekonomi penduduk, tahap pendidikan dan kesihatan komuniti, dan lain-lain.

Sukarelawan siswa yang berjaya menyelesaikan misi selama tempoh yang telah ditetapkan, secara automatik akan menjadi YSS Alumni. Alumni berfungsi sebagai jaringan untuk membimbing siswa baharu yang ingin berkecimpung dalam dunia kesukarelawanan. Alumni yang berpotensi akan digilap untuk menjadi ikon sukarelawanan.