Penjana Komuniti@SME Bank bantu usahawan B40
KUALA LUMPUR: SME Bank memulakan Program Penjana Komuniti@SME Bank, inisiatif di bawah Kementerian Kewangan yang bermatlamat merangsang kegiatan ekonomi usahawan mikro B40 yang terjejas akibat penularan COVID-19.
Projek perintis membabitkan 20 usahawan mikro B40 yang bertempat di PPR Taman Medan, Petaling Jaya dan PPR Jelatek, Kuala Lumpur.
Usahawan terbabit sedang diberikan latihan dan bimbingan untuk mengembangkan perniagaan sedia ada melalui platform dalam talian dan menggunakan media sosial secara lebih tersusun dan efektif.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata Program Penjana Komuniti@SME Bank adalah selaras dengan usaha berterusan kementerian bagi memperkasakan keupayaan dan kemahiran usahawan mikro menjalankan perniagaan.
Katanya, program terbabit juga adalah satu daripada 27 program dan dasar baharu di bawah PEMACU yang diusahakan oleh MEDAC.
“PEMACU adalah satu inisiatif yang menghubungkan fungsi semua agensi di bawah MEDAC agar pemantauan dapat dilaksanakan dengan cekap, manakala kolaborasi kapasiti dan daya saing dapat dimaksimumkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Wan Junaidi berkata, melihat kepada potensi Program Penjana Komuniti@SME Bank ini, MEDAC mengambil keputusan untuk mengembangkannya ke seluruh negara tahun depan dan meningkatkan jumlah peserta kepada 150 usahawan B40 daripada pelbagai latar belakang.
“Inisiatif ini adalah salah satu daripada usaha kerajaan memperkasa golongan B40 agar mereka dapat terus berdaya maju, terutama sewaktu krisis COVID-19 melanda,” katanya.
Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail, berkata, bagi memastikan objektif program ini dicapai, bank melantik Centre for Entrepreneur Development & Research Sdn Bhd (CEDAR), sebuah anak syarikat SME Bank sebagai penyedia latihan manakala Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) sebagai Pengurus Projek.
Katanya, program latihan sesi pertama bermula pada 15 September sehingga 6 Oktober lalu dan sesi latihan untuk kumpulan kedua akan diselesaikan sebelum akhir tahun ini.
“CEDAR juga akan memantau perkembangan dan kemajuan perniagaan peserta latihan sepanjang tempoh program terbabit,” katanya.
Program latihan berbentuk ‘hands-on’ itu merangkumi pembelajaran mengenai ‘Facebook Ads’, ‘Instagram Advertising’ dan ‘Website & Google Ads’.
Selain itu, peserta turut diperkenalkan dengan aplikasi YEZZA, iaitu platform perniagaan yang menggunakan aplikasi ‘WhatsApp’ untuk menjual produk, bagi memudahkan mereka menguruskan perniagaan.