Persidangan Pertubuhan Kerjasama Sukarelawan Antarabangsa (IVCO) 2024
Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) telah sekali lagi dijemput untuk berhimpun dengan lebih 140 perwakilan daripada 80 organisasi kesukarelawanan yang mewakili lebih 40 buah negara di Persidangan Pertubuhan Kerjasama Sukarelawan Antarabangsa (IVCO) di Newcastle, England pada 9 September hingga 13 September 2024 yang lalu. IVCO 2024 kali ini tampil buat julung kalinya sebagai persidangan kesukarelawan global yang pertama dianjurkan di sebuah institut pengajian tinggi, berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Persidangan berprestij yang dianjurkan dengan kerjasama erat antara The International Forum for Volunteering in Development (FORUM), Northumbria University serta Comhlám (The Irish Association of International Development Workers and Volunteers) ini menjadi penanda aras YSS dalam memartabatkan kesukarelawanan belia berimpak tinggi ke persada antarabangsa.
Dengan mengetengahkan kesukarelawanan sebagai pemangkin solidariti masyarakat serta keterjaminan rangkaian antarabangsa (Building and Sustaining Connections for Change: Volunteering for Solidarity), Persidangan IVCO pada tahun ini menjadi platform penting bagi membincangkan perihal cabaran sosial yang kian rencam serta menggalakkan pertukaran ilmu, kemahiran dan solusi rentas benua yang dikongsikan oleh pakar-pakar industri dan ahli- ahli akademik terkemuka khususnya dari benua Eropah, Amerika Syarikat, Asia dan Afrika.
Fokus utama IVCO 2024 tertumpu pada peranan kesukarelawanan dalam menelusuri cabaran kontemporari dari aspek sosial dan alam sekitar selain daripada kekangan geopolitik yang membelenggu. Hasil daripada kertas cadangan persidangan tersebut telah menyeru agar semua pihak, termasuklah kerajaan dan korporat, untuk mempergiat pembangunan sektor kesukarelawanan melalui pelan tindakan strategik serta merangka inovasi baharu yang berlandaskan kajian sistematik dan prospek kesukarelawanan di masa akan datang.
Yang Berusaha Dr. Wan Ahmad Hazman Wan Daud, Pengarah Eksekutif YSS dalam pembentangannya menyatakan peranan YSS sebagai salah satu jentera mobilisasi sosial di bawah naungan Kerajaan Malaysia kekal proaktif dan cakna akan situasi yang melanda seluruh negara semasa penularan wabak COVID-19 dan terus bekerjasama erat dengan pelbagai agensi serta badan-badan korporat untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat melalui program kesukarelawanan.