Sukarelawan Siswa YSS Santuni Pengunjung Pameran Orkid Putrajaya 2023
Putrajaya – Festival Orkid Putrajaya 2023 yang julung kalinya dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) di Taman Botani Putrajaya, Presint 1 disantuni dengan penglibatan seramai 60 orang sukarelawan siswa daripada Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS). Antara tarikan utama para pengunjung dalam festival tersebut ialah pameran lebih 600 spesis anggerik (orkid) liar, pokok-pokok renek, dan tumbuhan pakis berwarna-warni yang didatangkan daripada beberapa buah negara antaranya Indonesia, Singapura, Filipina, Vietnam, Brunei, Thailand dan Jepun.
Festival dengan tema ‘Pesona Anggerik’ itu juga turut dimeriahkan lagi dengan bengkel gubahan flora, pembinaan terrarium, pameran tertutup orkid VVIP yang dinamakan sempena kerabat diraja dan individu kenamaan, serta pameran pokok Bonsai. Di samping itu juga, para pengunjung turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan, acara larian komuniti dan pertunjukan fesyen yang bertemakan Bunga Anggerik yang dihasilkan dengan daya kreativiti pereka muda daripada Kolej Vokasional Sepang dengan kerjasama Puspanita Perbadanan Putrajaya.
Selain pameran, para pengunjung juga berpeluang untuk beramah-mesra dengan rakan kongsi pintar PPj seperti Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina Universiti Putra Malaysia (UPM) dan para sukarelawan siswa YSS yang bertugas di festival tersebut.
“Terima kasih buat para sukarelawan siswa YSS di atas layanan mesra mereka dan bantuan yang diberikan buat para pengunjung untuk mengenali spesis orkid dengan lebih mendalam. Mereka juga tidak lokek menghulurkan bantuan menangkap gambar para pengunjung yang menghadiri festival tersebut untuk diabadikan sebagai kenangan,” nyata salah seorang pengunjung yang turut hadir bersama-sama dengan ribuan pengunjung lain untuk merasakan sendiri keunikan dan kemeriahan pertunjukan flora yang berprestij itu.
Coffee Village @ Orkid Putrajaya, sebuah zon tarikan yang disediakan oleh pihak penganjur untuk menempatkan lebih 40 buah gerai jualan makanan dan minuman serta Garden Bazaar turutmenjadi lokasi tumpuan pengunjung yang hadir untuk menikmati pelbagai juadah warisan dan kudapan.
Objektif penganjuran Festival Orkid Putrajaya 2023 ini dikenalpasti sebagai salah satu usaha untuk mempromosikan Putrajaya dan Taman Botani Putrajaya khususnya, sebagai pusat tumpuan eko-pelancongan dalam bandar, sekaligus menonjolkan sokongan Malaysia terhadap industri orkid tempatan.