Suntikan Dana KPN Dalam Mesyuarat Agung Tahunan YSS Kali Ke-12 Sasar Pelaksanaan Aktiviti Perpaduan Intensif
Pada 9 Mei 2024 yang lalu, Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kali ke-12 yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara. Antara yang turut hadir sepanjang mesyuarat itu berlangsung ialah Datuk Azman Mohd Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan Dato’ Hj. Che Roslan Che Daud, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).
Pelantikan pucuk pimpinan baharu YSS menjadi antara agenda utama mesyuarat yang menyaksikan Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin Mohd Dom sebagai Pengerusi YSS, disertai dengan lantikan beberapa ahli Lembaga Pemegang Amanah (LPA) baharu antaranya Yang Berbahagia Datuk Ng Yih Pyng, Yang Berusaha Dr. Subramaniam Govindan serta Encik Razman Durhan selaku barisan hadapan untuk memacu kejayaan organisasi.
Bersempena dengan pelaksanaan mesyuarat tersebut, Yang Berhormat Menteri Perpaduan Negara turut mengumumkan peruntukan dana sebanyak RM800,000 untuk menampung kos pengurusan, manakala RM1.5 juta lagi diperuntukkan bagi mempergiat pelaksanaan program-program perpaduan sepanjang tahun 2024.
Dengan kejayaan pelantikan pucuk pimpinan baharu YSS serta suntikan kewangan yang telah diumumkan ini, YSS akan terus kekal komited untuk memberikan sokongan penuh kepada hasrat Kementerian Perpaduan Negara (KPN) demi menjadikan Malaysia sebagai hub kesukarelawanan berprestij di peringkat antarabangsa melalui kesinambungan program-program mercu YSS, pelantikan Duta Perpaduan, Pembangunan Dasar Kesukarelawanan Nasional, serta misi sukarelawan siswa di dalam dan luar negara.