120 Alumni YSS Manfaatkan Perkongsian Perspektif Dasar Sumber Manusia – Luncheon Talk Bersama YB Steven Sim Chee Keong
Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) telah mengadakan Program Luncheon Talk: Dasar Sumber Manusia dari Perspektif Belia. Program tersebut yang berlangsung pada 30 April 2024 di Menara PERKESO, Putrajaya telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia.
Seramai 120 orang belia yang terdiri daripada alumni Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), wakil Majlis Belia Malaysia, dan pelajar-pelajar Universiti Awam serta Universiti Swasta telah hadir untuk bersama-sama bagi berkongsi pendapat perihal Dasar Sumber Manusia melalui perspektif belia.
Para peserta yang menghadiri program itu juga turut didedahkan dengan pendekatan baharu dalam Kerangka Dasar Sumber Manusia melalui misi strategik 3K (Kebajikan, Kemahiran dan Keberhasilan). Secara amnya, dasar yang julung kalinya dilaksanakan itu mengandungi tiga Teras, 11 Strategi, 48 Prakarsa, lima Pemacu Perubahan dan dua Pemangkin Dasar yang merangkumi pelbagai isu penting berkaitan pengurusan sumber manusia, struktur penggajian dan upah, kesejahteraan dan keselamatan tenaga kerja, kemaslahatan warga kerja golongan rentan dan kurang upaya serta perlindungan keselamatan sosial.
Antara isu disuarakan yang telah mendapat perhatian pihak KESUMA sepanjang program itu berlangsung meliputi perihal kesejahteraan pekerja sektor ‘gig’, kemahiran di peringkat Institut Pengajian Tinggi, dan ketidakpadanan pekerjaaan serta pasaran kerja. Yang Berhormat Steven Sim Chee Keong turut menyeru agar golongan belia untuk terus memastikan kesiapsiagaan mereka dalam mengharungi alam pekerjaan dan memenuhi tuntutan industri dalam era globalisasi.
Tonton sorotan ‘YSS-KESUMA Luncheon Talk‘ Bersama YB Steven Sim Chee Keong di Instagram rasmi YSS: