Ini Warisan Kita: Misi Sukarelawan Siswa ke Sabah 2024
Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) telah memilih 99 orang pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dari seluruh negara untuk mengikuti Ini Warisan Kita: Misi Sukarelawan Siswa ke Sabah 2024. Para sukarelawan yang terpilih ini kemudiannya ditempatkan di enam (6) lokasi berasingan iaitu di Kampung Sabur, Pulau Banggi; kampung Moyog , Penampang; Kampung Bandulan, Sepanggar; Kampung Tengkurus, Kota Belud; Batalion 2, Rejimen 507, Kem Papar; serta Kampung Suasa, Beaufort.
Misi Sukarelawan Siswa ke Sabah pada tahun ini telah dilaksanakan bermula 1 September hingga 18 September 2024. Majlis “flag-off” misi ini telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Haji Mahiruddin di Dewan Bankuasi, Universiti Malaysia Sabah diiringi oleh Yang Berhormat Senator Puan Saraswathy Kandasami. Sepanjang misi tersebut berlangsung, para sukarelawan siswa YSS telah melaksanakan pelbagai projek pembangunan komuniti antaranya projek penambahbaikan infrastruktur sekolah dan masjid serta kerja-kerja membaik pulih Kompeni A, Batalion 2.
Yang Berhormat Senator Puan Saraswathy Kandasami menyatakan bahawa misi kesukarelawanan seumpama ini bukan sahaja mampu untuk memperkukuh tapak integrasi nasional dalam kalangan masyarakat yang dinamik, malah ia juga dapat menggalakkan keterlibatan segenap lapisan masyarakat dan belia dalam usaha untuk memurnikan aktiviti kesukarelawanan sebagai pemangkin pembentukan negara bangsa yang lebih harmoni.
Selain daripada projek-projek penambahbaikan infrastruktur masyarakat setempat, para sukarelawan siswa YSS juga turut mengambil langkah proaktif untuk menggembleng tenaga bersama-sama penduduk dalam inisiatif pemuliharaan ekosistem serta intervensi pendidikan. Antara inisiatif berimpak tinggi yang turut dijalankan teramsuklah program penanaman 300 anak pokok bakau dengan kerjasama World Wildlife Fund serta penduduk di Kampung Sabur, Banggi dan program intervensi pendidikan “Lingo Heroes” bersama 20 orang kanak-kanak pendidikan awal di Kem Papar.
Secara keseluruhan, Misi Sukarelawan Siswa ke Sabah pada kali ini telah berjaya memanfaatkan lebih 44,000 penduduk di kesemua lokasi dengan pelaksanaan sebanyak 223 projek-projek di peringkat komuniti yang sekaligus menyumbang kepada lebih 900 jam tempoh kesukarelawanan sepanjang misi itu berlangsung.
Saksikan Imbasan Misi Sukarelawan Siswa ke Sabah 2024 yang dilaksanakan di Kompeni A, Batalion 2, Kem Papar di saluran YouTube rasmi Yayasan Sukarelawan Siswa: