COVID-19: 1,204 pelajar IPT terima bantuan YSS
PUTRAJAYA : Sebanyak 1,204 pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) telah menerima bantuan Tabung Prihatin COVID-19 “Bantuan Untuk Mahasiswa” anjuran Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Ketua Pegawai Eksekutif YSS, KPT, Muhammad Aiman Mohd Zain, berkata inisiatif Tabung Prihatin COVID-19 ini selaras dengan hasrat KPT membantu meringankan beban mahasiswa yang berada di kampus sejak PKP dilaksanakan 18 Mac lalu.
Muhammad Aiman berkata, sumbangan itu telah diagihkan kepada mahasiswa di enam IPT yang dikenalpasti terdiri dari golongan B40 dari keluarga yang terjejas akibat PKP.
Menurut beliau, tabung yang dilancarkan pada 26 Mac lalu turut mendapat sokongan padu daripada semua pihak termasuk luar.
“Sebanyak RM14,050 berjaya dikumpul hasil sumbangan pihak luar dan Alumni YSS untuk diagihkan kepada pelajar, ” katanya melalui kenyataan media di sini, hari ini.
Enam IPT yang menerima sumbangan terdiri dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Kolej Unikop (Kolej Bersekutu UiTM), Politeknik Melaka dan Widad University College.
Muhammad Aiman berkata, YSS mengucapkan setinggi penghargaan dan ribuan terima kepada kepada semua penyumbang dan berharap usaha ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan memberi sedikit keselesaan kepada mahasiswa yang terjejas sepanjang PKP.
Katanya, sumbangan pek makanan dan pek kebersihan diri itu telah diagihkan bermula 2 April lalu dengan bantuan Alumni YSS dan pegawai IPT yang berada di setiap IPT terbabit.