Sesi Pemilihan Sukarelawan Siswa YSS 2022
Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mengadakan Sesi Pemilihan Sukarelawan Siswa YSS dan menerima sambutan seramai 470 pelajar daripada Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia.
Sesi pemilihan sukarelawan siswa telah diadakan di tiga lokasi iaitu Kementerian Pengajian Tinggi bagi Zon Semenanjung pada 4 & 5 Jun 2022, Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi Zon Sabah pada 7 Jun 2022 dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi Zon Sarawak pada 8 Jun 2022.
Sesi pemilihan tersebut telah melibatkan semua IPT di Malaysia dalam kalangan pelajar Universiti Awam, Universiti Swasta, Politeknik, Kolej Komuniti dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
Pada tahun ini, YSS telah merancang untuk mengadakan Misi Sukarelawan Siswa YSS ke Vietnam, Cambodia, Laos, Johor, Sabah dan Sarawak. Calon yang terpilih akan menjalankan misi di sasaran lokasi selama 14 hari atau satu bulan.
Melalui misi ini, sukarelawan siswa berpeluang menyantuni masyarakat di lokasi misi dan membantu menambah baik infrastruktur sekitar serta menyediakan sokongan dari segi pendidikan. YSS juga akan menyediakan aktiviti kesihatan untuk penduduk setempat dan bantuan asas kecemasan yang dikendalikan oleh sukarelawan siswa di lapangan.
YSS yakin melalui misi sukarelawan siswa, sukarelawan siswa terpilih dapat mempraktikan pelajaran mereka di lapangan dan menjadikannya sebagai pembelajaran berasaskan pengalaman. Ini selari dengan salah satu Value YSS yang memfokuskan “The Right Volunteer for the Right Job”.
YAYASAN SUKARELAWAN SISWA
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia
10 Jun 2022