Projek Laluan Pejalan Kaki di SK Karakit, Kudat

Hampir 350 murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Karakit, Kudat menerima manfaat projek laluan pejalan kaki yang dianjurkan oleh Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) semasa Misi Sukarelawan Siswa YSS ke Kudat, Tuaran dan Beluran, Sabah pada 28 Ogos 2022 hingga 14 September 2022.

Projek laluan pejalan kaki ini melibatkan 15 orang sukarelawan siswa yang ditempatkan di Kampung Perpaduan (Pulau Bangi), Kudat. Para sukarelawan turut dibantu oleh penduduk kampung di sekitar SK Karakit, pihak sekolah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pasukan ESSZONE RELA Banggi untuk menyiapkan laluan pejalan kaki dengan jarak 234 kaki, tinggi 3 inci dan lebar 6.1 kaki.

Fayzah Addawiyah, sukarelawan, menyatakan, “Projek ini bertujuan untuk memudahkan pihak sekolah dan murid-murid untuk menggunakan jalan tersebut apabila hari hujan.

“Menurut warga sekolah, jalan tersebut sering berlaku banjir dengan air setinggi buku lali”, katanya.

SK Karakit merupakan sekolah rendah yang menerima kadatangan pelbagai murid di sekitar Pulau Banggi, Kudat. Kemudahan seperti ini diharap dapat menjadi motivasi untuk menarik minat mereka untuk datang ke sekolah dengan laluan pejalan kaki yang lebih selesa dan selamat bermula dari pintu gerbang sekolah sehingga ke kelas.