350 PELAJAR DAERAH TUARAN MENYERTAI BENGKEL SKOR A SPM 2022 & PROGRAM PEMUPUKAN DAN PEMBANGUNAN PELAJAR

Majlis Perasmian Bengkel Skor A SPM 2022 & Program Pemupukan dan Pembangunan Pelajar di Daerah Tuaran telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Ts. Dr. Muzzammil Mohd Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera pada 12 September 2022 di Dewan Persidangan Majlis Daerah Tuaran.

Seramai 350 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Badin, Tuaran telah menyertai bengkel tersebut yang diadakan pada 12 & 13 September 2022 di bawah inisiatif Projek YSS Tuition Mission Percuma Pelajar Asnaf & B40 Sabah sesi 2022/2023.

Bengkel ini memfokuskan 6 subjek iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Sains dan Pendidikan Islam bermula 8.00 pagi hingga 5.00 petang hasil kerjasama antara Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, JPN Sabah dan PPD Tuaran.

Pelaksanaan program membabitkan pelajar Tingkatan 5 pelajar B40 dalam melonjakan semangat dan persediaan calon SPM 2022 berikutan kepentingan subjek tersebut untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Pelajar yang hadir berpontensi untuk cemerlang namun kurang berkemampuan untuk menghadiri kelas-kelas tuisyen dan program-program motivasi seperti ini.

Sehubungan itu, YSS telah menganjurkan program seperti ini dan juga telah menjalankan kelas tuisyen percuma untuk mereka sejak Ogos 2022 hingga Januari 2023 di SMK Badin, Tuaran.

Majlis Perasmian juga turut dihadiri Tuan Mohammad Ghazali DSP Hajiji, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Tuaran, Tuan Wan Ahmad Hazman Wan Daud, Timbalan Pengerusi YSS, Tuan Zamli Mantamin, Pengetua SMK Badin, Tuan Rusdih Linah, Timbalan Pegawai Pendidikan Sektor Pembelajaran, Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran, Dato’ Mat Salleh @ Awang Sapong Bin Sapong, Yang Dipertua PIBG SMK Badin, delegasi Yayasan Peneraju, delegasi Yayasan Sukarelawan Siswa, penolong-penolong kanan, ketua-ketua bidang dan guru-guru sekolah.