6,400 PENDUDUK SABAH MENERIMA MANFAAT DARIPADA PELAKSANAAN MISI SUKARELAWAN SISWA YSS KE SABAH 2022

Seramai 100 Sukarelawan Siswa telah berjaya menyelesaikan Misi Sukarelawan Siswa YSS ke Kudat, Tuaran dan Beluran, Sabah yang bermula sejak 28 Ogos 2022 hingga 14 September 2022. Misi pada kali ini melibatkan Kampung Perpaduan, Kampung Indarason Laut (Matunggong), Kampung Penimbawan, Kampung Berungis, Kampung Kabuluh (Paitan), dan Kampung Tanjung Nipis (Paitan).

Majlis penyerahan sijil penyertaan telah disempurnakan oleh Encik Wong Kin Lun, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) seterusnya melayakan setiap sukarelawan siswa mendapat nombor Alumni YSS.

Sehingga kini, YSS telah melahirkan 1,631 Alumni YSS yang terdiri daripada pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) merangkumi Universiti Awam, Universiti Swasta, Politeknik, Kolej Komuniti, dan Institut Pendidikan Guru Malaysia.

Misi Sukarelawan Siswa YSS ke Sabah tahun ini telah memberikan manfaat kepada lebih daripada 6,400 penduduk di sekitar daerah Kudat, Tuaran dan Beluran. Sepanjang dua minggu Sukarelawan Siswa berada di lapangan, mereka telah menyediakan kelas tambahan percuma berkonsepkan “Fun Learning” yang membawa manfaat kepada lebih daripada 1,500 murid-murid di SK Karakit, SK Indarason Laut, SK Penimbawan, SK Berungis, SK Kabuluh dan SK Tanjung Nipis.

Sukarelawan Siswa telah berjaya menjalankan 136 projek berdasarkan enam pilar kesukarelawanan YSS. Antaranya ialah projek laluan pejalan kaki, pemeriksaan kesihatan percuma bersama Pejabat Kesihatan Daerah, kelas tuisyen percuma berkonsepkan “Fun Learning”, latihan kecemasan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat, bicara siswa bersama calon SPM, kemahiran digital kepada ibu bapa, aktiviti keusahawanan dan pelbagai lagi aktiviti untuk manfaat dan kepentingan serta pembangunan komuniti tempatan.