BENGKEL PEMERKASAAN ICT DI KAMPUNG KABULUH

Mohammad Hafiz Najmi, Politeknik Sultan Azlan Shah dan Johari, Universiti Sultan Zainal Abidin telah mengambil inisiatif untuk mengadakan Bengkel Pemerkasaan ICT semasa pelaksanaan Misi Sukarelawan Siswa YSS di Kampung Kabuluh.

Pada 1 hingga 10 September 2022, Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) telah menganjurkan Misi Sukarelawan Siswa YSS ke Kudat, Tuaran dan Beluran, Sabah. Seramai 15 Sukarelawan Siswa telah ditempatkan di Kampung Kabuluh (Paitan), Beluran untuk menjalankan kerja-kerja sukarelawan berdasarkan enam pilar kesukarelawanan YSS.

Kemahiran Microsoft Word sepatutnya menjadi asas pengetahuan kepada pelajar terutamanya bermula penularan COVID-19 di serata dunia bermula 2020 lalu sehingga mengubah landskap pendidik negara dan memberi cabaran besar dalam pendidikan sekolah rendah dan sekolah menengah di luar bandar kerana pendidikan secara bersemuka terpaksa dihentikan.

Berdasarkan tinjauan, di Kampung Kabuluh terdapat 8 orang pelajar Tingkatan 4 & Tingkatan 5 yang kini menyambung pelajaran di SMK Simpangan. Mereka didapati mengalami masalah untuk menggunakan Microsoft Word. Ini menjadi cabaran kepada pelajar untuk memastikan tugasan sekolah siap dengan sempurna semasa kelas atas talian diadakan.

Hafiz berkata, “ada dalam kalangan mereka memang tidak tahu menggunakan Microsoft Word. Antara faktor adalah kurang pendedahan, sukar mendapat kelas ICT kerana kawasan yang sangat jauh dari pusat bandar dan tidak mempunyai kemudahan komputer riba.”

“Semasa menyiapkan tugasan sekolah, mereka lebih menggunakan Microsoft Word yang dimuat turun dalam telefon bimbit”, tambah Johari.

Sukarelawan Siswa juga mengambil inisiatif untuk mengajar Canva. Canva merupakan applikasi asas yang mudah digunakan untuk menghasilkan reka betuk grafik dalam talian yang percuma untuk digunakan.

“Para peserta tidak pernah tahu kewujudan Canva. Selepas menggunakannya, mereka sangat tertarik dan berjaya menghasilkan reka bentuk grafik yang menarik”, kata Hafiz.

YSS berharap akan lebih banyak aktiviti pendedahan berkenaan ICT untuk pelajar-pelajar di luar bandar bagi mendekatkan jurang kemahiran dan pendidikan dengan pelajar di bandar. Pelajar IPT diharap akan terus menyumbang bakti kepada komuniti dengan kemahiran daripada bidang pengajian masing-masing.